21 March 2017

Kanang Anak Langkau: The Iban Warrior (2017)


Ini mungkin kali terakhir Bade dapat membikin sebuah filem perang. Filem perang bukannya mudah. Selain mendapatkan bajet yang sesuai (dan selalunya tidak pernah cukup), lokasi tempat yang sangat mencabar (lokasi perang kita, khususnya era Darurat banyak berlaku di dalam hutan, dan hutan merupakan latar syot paling misteri dan menyusahkan, rujuk sahaja Proof of Life, Platoon atau The Thin Red Line), pembikin kita harus meyakini Angkatan Tentera Diraja Malaysia untuk meminjamkan perkakas dan kelengkapan mereka (dalam filem ini, sebuah helikopter askar digunakan, dan paling menakutkan, ramai askar dan peminat tentera membantai poster kerana penggunaan helikopter black hawk yang dikatakan tidak kena dengan sejarah), dan belum lagi dengan perunding dan pakar sejarah/askar yang memberikan input bagaimana-apa yang berlaku dari sudut sejarah. Karya perang memang meremehkan, apatah lagi apabila banyak mata, khususnya penonton Malaysia yang begitu kritis dalam hal-hal kecil seperti prop (ingat isu batu-bata dalam filem Puteri Gunung Ledang?)

Namun begitu, tekanan dna kerahan hanya boleh dilangsaikan jika pengarahnya sanggup mengambil cabarannya dan menggerakkan film perang ini seperti seorang jeneral. Setakat ini, kita hanya dapat melihat Aziz M. Osman dan (Allahyarham) Jins Shamsudin berjaya dalam landasan ini, dan boleh dikira P. Ramlee juga yang mengambil alih kerja Lamberto V. Avellana yang melarikan diri untuk Sergeant Hassan (1955). 

Apa yang Bade telah bikin dengan filem perang ini pula? Dalam filem ini, terdapat satu babak yang cukup baik dan terikat kukuh, mengikat dan menyampaikan pesona ketokohan Kanang yang molek dan sekali gus pengalaman betapa pahit dan menyakitkan kerja askar renjer ini memburu Komunis di dalam hutan (hal ini lebih jelas daripada Bravo V). Babak itu berlaku di pertengahan filem, sewaktu Kanang sudah berpangkat sarjen, menusuk di dalam hutan Perak (lokasinya mungkin tempat sebenar skuad Kanang bertempur). Babak itu sungguh senyap dan mendebarkan. Hijau menjadi pemandangan utama. Kita terlihat platun Kanang bergerak sedikit demi sedikit. Kanang, yang sangat superstitous (menurut ilmu "hilang" dalam hutan yang diwarisinya daripada datuknya) tahu ada musuh apabila kedengaran bunyi burung. Masing-masing mula mengambil posisi. Kanang paling depan, menuding dan mengarahkan prebet sebelahnya (dengan angkuh), "Jangan tembak sebelum aku tembak." Senyap. Tiba-tiba, kelihatan sebalik hijau-hijauan, sesuatu yang hijau dan hitam bergerak, seperti tompok di tepi lereng. Kanang lalu menembak.

Babak itu sahaja sudah begitu mengujakan. Kita bukan hanya dapat melihat perwatakan Kanang menyerlah, yakni beliau bukan sahaja berani buta, jantan, tampak bossy, tetapi ada sikap ingin melakukan suatu kerja itu dengan sempurna, seakan-akan seorang konduktor yang mengawal simfoninya. Ini dikuatkan pula dengan imejan sepenuhnya yang hijau dan pokok: misteri Khatulistiwa, yang menyimpan "pejuang-pejuang kiri" di sebalik buminya. Berlaku suatu gambaran "main nyorok-nyorok" di dalam hutan dan kejar-mengejar "1 2 jaga", namun ini bukan satu mainan. Dengan imej ini sahaja, kita dapat memahami mengapa ada "cadangan imej" Kanang yang belajar ilmu berjalan di dalam hutan, dan sebuah babak (walaupun tampak lesu) seorang pegawai tentera Inggeris ajak bermain nyorok-nyorok pada adegan awal filem ini bersama-sama Kanang yang tidak mahu masuk menjadi askar pada awalnya.

Semua ini sebenarnya bakal menghasilkan wayang yang menarik jika Asmira Suhadis, Zainal Fikri(?) dan Bade Hj. Azmi selaku penulis lakon layar betul-betul menyusun dengan baik dan dalam tangan Bade sendiri, mengetahui untuk menghasilkan imej bergerak dengan kemungkinan sebab-akibat yang baik. Setakat babak tadi yang baik, tidak ada babak atau adegan yang menarik atau menjadi petanda sesuatu yang baik daripada Kanang, wira kita, dalam filem ini lagi.  Tiada pemusatan yang baik. Aku tidak rasa pihak tentera ingin menolak kreativiti imaginasi dan interpretasi Bade, seperti yang Aziz pernah lakukan terhadap Leftenan Adnan. Contohnya, seperti Kanang yang kita lihat begitu bongkak pada awalnya, malah ada satu babak dia memukul seorang pegawai Inggeris. Kita sudah tonton semua ini, tetapi kita tidak diberikan dengan suatu latar sejarah hidupnya (the why) yang membina perwatakannya (dan jangan bagi aku alasan dia mahu melakukan semua ini "demi negara tercinta" come on! Menghumban political correctness ke mata telinga penonton amat membosankan!). Ada peluang yang disia-siakan oleh penulis skrip dan pengarah. Salah satunya ialah dinamisme peribumi melihat keperluan mereka datang ke Semenanjung untuk berjuang (takkan Kanang dengan rela selamba berpindah ke Semenanjung, tanpa ada apa-apa babak menarik, sekurang-kurangnya satu wacana akan hal ini? Contohnya satu dialog daripada orang tuanya kepadanya: "Jangan kau tukar agama dan cara hidup kau bila tiba di sana.")

Menampilkan bodohnya skrip ini adalah apabila dalam satu babak, seorang prebet (pelakon tambahan yang kita tidak peduli pun) mati di depan mata Kanang. Tiba-tiba, out of the blue (even literally!) Kanang mengimbau memori (cinta)nya dnegan prebet itu yang Kanang sanggup tumpangkan rumahnya jika mereka mahu. Betapa palsunya. Di dalam pawagam waktu itu, aku mencarut "P*** mak!"

Contohnya, babak Kanang berjalan di dalam hutan, diajar oleh atuknya, hanya satu jalan sahaja, tidak ada berlaku suatu momen pencerahan kepada penonton, yakni, bagaimana Kanang belajar melihat, menyorok, memburu dan menjumpai sesuatu di dalam misteri hutan (come onlah, Hunger Games pun ada apa). Hal ini patut dikembang dan dikembangkan sampai kita dapat lihat mengapa Kanang "ahli" dalam kerja memburu dan menyorok di dalam hutan, yang membawa dirinya maju dan terus maju dalam kehidupannya sebagai tentera. Aku lihat, hal ini disia-siakan oleh Bade dengan syot sambil lewa konon ikut skrip di atas kertas. Tidak ada percubaan interpretasi yang lebih baik. Malah, memang, skripnya terlalulah selamat dan penuh dengan inti anasir propaganda "selamatkan negara". Lagi satu, penggunaan mimpi. Mimpi ini sangat penting, dan sangat kuat jika unsur ini dapat disampaikan dalam filem (kerana bukan sahaja mimpi itu ibarat menonton filem). Kanang sendiri menyatakan bahawa mimpi itu (penerangannya menjadi suatu kenyataan bahawa mempercayai mimpi bukan tahayul tapi cara hidup dan selirat darah jati diri orang Iban: ini kuasa anak bumi berhadapan dengan hegemoni budaya utama Melayu) suatu pengalaman-jambatan dia dengan alam roh nenek moyang. Mimpi juga membawa alamat (foreshadow) seperti Kanang merenung diri apabila bermimpi akan ayam tidak boleh menyabung (ini petanda sial atau buruk). Mimpi jugalah, seperti yang dicadangkan oleh filem ini mungkin, Kanang mendapat ilmu hutannya. Namun begitu, Bade telah mengambil lewa dan renyeh akan unsur penting ini, malah mengarahkannya dengan begitu longlai sekali, tanpa maksud tanpa gerak dan tanpa motivasi apa-apa. 

Kalau kita baca dalam media sosial, orang asyik bercakap fasal lakonan hebat tiga watak Komunis yang dibawa oleh pelakon Cina (seorang lagi sebenarnya Melayu, Ruzana Ibrahim), menjunamkan kesemua lakonan watak lain khususnya tentera Malaysia termasuk Kanang. Sebenarnya, lakonan mereka terpuji, bukan hebat, tetapi kerana cara cerita mereka jelas ternampak struktur three-act itu, ternampak konflik dan peleraian, jadi penonton menganggap "ada lakonan". Hal ini tidak berlaku dengan Kanang dan isterinya (mereka kedua-duanya tampak watak utama filem ini), tidak ada perkembangan langsung. Mendatar. Dan ini bukan salah mereka kerana Langgi anak Kanang (lakonannya taklah buruk sangat, malah ada pesona Kanang yang menarik yang disampaikannya) dan Livonia Guing boleh berlakon (dia hanya diberikan beberapa watak merasai takut sewaktu keluar ke pekan dan meratap suaminya yang cedera, seperti mana-mana filem perang kita, sang wanita, itulah sahaja kerja mereka, duduk di rumah berharap dan menangis apabila suaminya cedera/mati - aku percaya wanita isteri tentera mempunyai dinamisme dan sudut yang lebih daripada itu). Tetapi skrip yang begitu selamat tidak memberikan mereka dinamis dramatik, tidak memberikan mereka drama untuk kita ikuti. 

Kelesuan-kelesuan inilah yang ditandai berkali-kali dalam filem ini, dijahanamkan oleh Bade (Bade juga tim penyunting filem ini). Hal ini sangatlah dikesali kerana kumpulan pelakonnya sebenarnya sudah memberikan yang terbaik (bayangkan, pertama kali aku tengok Danny X-Factor boleh berlakon). Malah, inilah filem (adakah ini filem sulung perdana peribumi Sarawak?) yang bebar-benar mengangkat landskap sisi peribumi dunia Sarawak! Siap dengan dialek Iban dan perkayaan dunia Ibannya. Malah, skor muzik filem ini merupakan runut bunyi terbaik yang keluar untuk filem tempatan tahun ini sekakat ini. Namun lihatlah bagaimana lemahnya Bade mengarahnya, runut bunyi yang baik juga kadangkala terpesong niatnya atas tampalan imej-babak yang salah dengan emosi lagu. Jadi apa yang kita boleh bawa balik setelah menonton peperangan lesu ini (aku menguap berkali-kali, bayangkan) selain hanya satu rekomendasi peribadi atas perasaan cintakan wayang Malaysia dan cintakan sejarah perjuangan tentera kita? Takkanlah kita hanya mahu tersandarkan dua hal itu sahaja apabila pembikin filem kita terus menempelakkan kita dengan makanan basi?

14 March 2017

Adiwiraku (2017)


"Sakit itu sementara. Kegemilangan itu selamanya."

Agak menarik apabila ada filem lokal kita yang memegang pada janji cogannya. Filem "inspirasi" dan "berdasarkan kisah benar" cikgu, atau dipanggil Teacher Cheryl Ann Fernando (ini memang kisah benar, malah "cerita asal" filem ini ditulis[wawancara?] oleh cikgu itu sendiri) di sekolah "ulu" Kedah, SMK Pinang Tungga"i" mempunyai magis. Dua detik senimanya menjadi kerana "truth to the word", yakni cogan Cheryl (yang dimainkan oleh Sangeeta Krishnasamy dengan berjaya sekali) kepada murid-muridnya disempurnakan (direalisasikan) dalam satu babak finale yang sangat indah, diambil oleh lensa Husni Abu Hassan: choral speaking berjudul "Superhero".  Lihat, begini. Awal filem: Kita kenali Cheryl, dalam bajunya yang kekok bagi murid Melayu konvensional itu (babak awal itu, ada yang jelas-jelas memanggilnya "bukak aurat" dan "macam pelacuq"[!]) dengan imejan dia di depan papan hitam (Oh, sekolah Malaysia masih ada papan hitam) dengan murid-murid yang tidak peduli. Imej ini dibalas dengan imej "kemenangan" Cheryl (yang kita tahu, berkongsi "adiwira" murid-muridnya) dengan babak chrous speaking tersebut: layar putih, yang papan hitam itu tadi (yang kosong) digantikan dengan 35 muridnya yang bersemangat, tanpa kekok, bertutur dengan "perfect English", ditontoni oleh pelajar Kedah yang jau lebih "elit" dan "moden" daripada mereka. Kini, mereka berdiri gah, menjadi "filem" tayangan kepada kita (kita yang duduk juga menjadi pelajar, ingat tu), yang sedang menyampaikan, bawah 10 minit, apa itu untuk hidup di pedalaman dan perlu berdiri di atas kaki sendiri untuk mengangkat cogan gurunya: "sakit itu sementara, kegemilangan itu selamanya."

Filem di dalam kelas, atau filem "sekolah" amat tricky untuk dibikin, kerana ia sangat-sangat jelas hanya bertujuan "untuk pembangunan insaniah" dan mencetuskan "inspirasi" (rujuk mana-mana, baik Dangerous Minds[1995], Dead Poets Society[1989], Music of the Heart[1995], Not One Less[1999] atau The Class[2008]. Sebagai pengecualian, mungkin If ... [1968] yang lebih bersifat memberontak dan antigolongan berkuasa dan mempunyai kritikan politik yang jelas). Kita sebenarnya sudah ada dua yang terkenal, Adik Manja (1980) yang sangat subversif (temanya seks dan feminisme) dan Baginda (1997) yang amat dekat dengan semangat filem ini. Masalahnya ialah klise, ketetapan struktur filem sebegini sudah ditentukan, kebanyakannya memang ingin mencerminkan "kepincangan dan masalah sistem pendidikan kita sekarang" dan selalunya, mahu tidak mahu, mendidik sesuatu (sebab itu babak di dalam kelas) dan menghasilkan perspektif baharu daripada pengalaman menontonnya. Kadangkala pula, filem ini tidak dapat lari daripada menyatakan the obvious, moral, pengajaran, pembentukan nilai. Filem ini hidup jika ada sesuatu yang boleh dibawa pulang (jika tidak, ia hanya sebuah lagi filem di dalam kelas), nasib baik, kerana kerja "cuplikan daripada kisah benar" ini belum dibikin dari Malaysia, ada sesuatu yang kita berdaya juga bawa balik.

Kekuatan jelas datang jika percubaan Eric Ong sebagai pengarah mengarah-pelakon amatur pelajar menjadi satu wayang yang boleh dipercayai.  Ini sebenarnya yang paling penting dalam filem-filem sebegini. Sebagai percubaan, Eric sudah mencuba dengan pujian, tetapi mungkin belum secemerlang "A+" dalam tradisi filem sebegini. Ini adalah kerana kita lihat ada bahagian, malah dalam banyak syot, lebih-lebih lagi dalam satu syot berkumpulan, gerak-gerinya sangat jelas dipentaskan, tidak berlaku secara natural dan bersahaja. Kita terasa ditekan-tekan (forced) lakonan dan persembahannya. Namun tunjuang sebenar tampak dalam Sangeeta sebagai Cheryl yang teradun lengkap, dalam keadaan gementar amatur pelakon pelajarnya, menyampaikan emosi dan gerak nuansa yang lancar dan betul, dan kita betul-betul percaya dia cikgu yang sedang membimbing dan berinteraksi. Hal ini mengeluarkan imej-imej klasik, yang menyentuh, seperti babak Khairi Mohd Kamal (antara murid yang paling aku senangi lakonannya), Faiz Khairil sebagai Iqbal (seorang yang sangat jelas jujur dan raw lakonannya), Irdina Tasmin, Ahmad Adnin Zidane, Wan Azlyn (Alia), dan beberapa yang lain. 



Lakonan ini yang membantu dalam hal menghadapi monolog panjang-panjang filem ini yang dirasakan tidak perlu, menjela-jela, terlalu lurus, dan jelas, hanya ingin berkhutbah kepada Menteri Pendidikan dan Kementerian Pendidikan kita masalah sebenar yang sedang dihadapi oleh sekolah di pedalaman. Walaupun pada awalnya, monolog ini tidak terfokus dalam khutbah kepada dirinya (kalau sebut fasal SPM sekurang-kurangnya perlu tunjuk hasilnya, ini kesalahan yang sama dibuat seperti filem Baginda yang tidak selesaikan hal itu), malah suara latar mendatarnya tampak palsu pada imej yang dipaparkan, tidak dramatik. Namun begitu, monolog ini tetap berfungsi dan mempunyai gaya menarik dan menawan: yang awalnya Cheryl bertutur sangat formal, bersemangat, dalam bahasa Inggeris, bahasanya tiba-tiba berubah kepada bahasa Melayu (pada babak kisah anak murid di rumah kampung dipaparkan), dengan beberapa alun dan kefasihan sastera. Cheryl, waktu itu, kita sedar sudah "berubah", diubah oleh persekitarannya. Walaupun terdapat dialog-dialog bodoh yang menyatakan hal yang jelas-jelas, kita memaafkannya kerana perubahan yang berlaku pada Cheryl ini "benar" (yang dipanggil oleh Zaim sebagai sejati atau pure), dia sudah menjadi sebahagian daripada anak-anak SMK Pinang Tunggal, adiwira mereka. 

Mungkin babak paling pemalas ialah babak cara Eric cuba memperkenalkan bagaimana "surat arahan" chorus speaking itu jatuh kepada tangan Cheryl. Babak lain, termasuk babak tiba-tiba di tengah-tengah yang jelas-jelas untuk paparan Kementerian Pendidikan, masih baik. Filem ini pun, terasa, memang, seperti filem yang dihasilkan untuk TV Pendidikan sewaktu aku kecil dahulu (kami ada TV Pendidikan, aku tak tahu sekarang), yang jelas dialog dan bentuknya, mengampu, menyampaikan "hal mendidik", amatlah pernuh nilai murni, semuanya untuk "belajar jadi baik" yang melemaskan. Semua ini dimaafkan kerana sekurang-kurangnya Cheryl di akhir cerita "berubah", dan Cheryl mendapat sesuatu daripada komuniti yang diajarnya. Dia belajar sesuatu. Kita belajar sesuatu.

Pelakon pembantu seperti Xavier Fong sebagai cikgu Constant Wong, ayah Kemboja(?), ibu Alia, termasuk pengetua, menyampaikan bantuan dan sokongan lakonan yang cukup dan bersahaja. Mereka turut menguatkan lagi kebenaran watak-watak pelajar yang kita lihat, dengan ruang latar seninya (di kawasan pedalaman petani yang ditangkap cantik) yang terpilih baik dan sesuai untuk imej filem.

Suntingan Alex Tang boleh tahan, walau mungkin memerlukan sokongan syot yang lebih baik daripada produksi Eric dan penolong pengarahnya. Aku tak berapa suka runut bunyi Shamsul Cairel yang mengada-ada, yang menggerakkan emosi kita, tapi aku terpaut dengan 10 minit lagu akhirnya, terikat baik kemudian dengan lagu tema yang akan dinyanyikan, kedua-dua dalam filem dan di kredit akhir filemnya (jelas-jelas sebagai dedikasi kepada Teacher Cheryl). Mungkin skrip Jason Chong, Eric Ong dan Yentanamera ada cacat-celanya dalam sikap terlalu menurut standard buku teks Kokurikulum Standard Sekolah Menengah oleh Bahagian Pembangunan Kokurikulum Kementerian, namun terdapat babak-babak berjiwa yang jarang-jarang menyapa filem kita. Malah, melodramanya boleh diterima dan dikawal baik tanpa perlu melebih-lebih. Begitu juga lawak selambanya. Suntingan efek suaranya terkawal dan runut suaranya cukup. 

Setakat ini, tidak banyak filem yang baik dibikin di Malaysia. Filem yang kecil ini boleh dikira baik, malah menjadi surat dedikasi terbaik untuk guru-guru yang kita sayangi dahulu di sekolah. Filem yang kecil ini menjadi satu contoh bahawa kita boleh membikin filem (walaupun tidak sebaik yang aku harapkan), jika kita percaya, dan ya, filem ini satu hasil yang sakit dan ada cacat-celanya; namun sakit itu sementara, kegemilangan itu selamanya: suatu isyarat sebenar untuk masa hadapan wayang kita berjaya suatu hari nanti.


03 March 2017

JRevolusi (2017)


Pada pertengahan filem, Jay (Zul Ariffin) yang sedang menyiasat berkenaan sebuah sindiket diketuai Farid Kamil yang menawar pembidaan kepada golongan jutawan dari luar negara, masuk menyamar ala Mission Impossible ke tempat pembidaan itu, sebuah manor lama yang besar. Kepada sesiapa yang mengenali ketokohan dan ilmu Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas akan menangis dan tersinggung. ISTAC yang tersedia indah, dengan dewan besarnya yang diukir dengan seni Islam bercampur praktikal Andalusia yang teliti, yang sudah selang dihadirkan dengan kuliah dan wacana intelektual Timur-Islam dan oksidental yang ulung, telah dijadikan dewan utama pembidaan barang mewah haram.

Aku sedikit terganggu dengan pilihan "pengurus produksi" itu. Kesilapan atau melanggar adab ini (contohnya, tak mungkin kita jadikan dewan ibadah sebagai tempat konsert rock, walaupun dalam filem) menampilkan dengan jelas akan dua perkara, (1) betapa jauhnya para pembikin filem kita dengan intelektual dan pemikiran kotemporari sekarang, sehingga segala-galanya boleh dan hendak dilangkah tanpa apa-apa pertimbangan yang mendalam, dan (2) betapa jauhnya pembikin filem kita dengan sastera, kerana sastera sekurang-kurangnya mengajar kita adab, yakni tertib dalam memahami hal sekeliling.



Namun, baiklah, ini masih filem, ini masih filem genre, masih (walaupun realiti tempat mengganggu eskapisme yang hendak dihidangkan kepadaku) memerlukan tujuan penonton memperkotakkan realiti dengan bikinan yang dibuat-buat dalam ruang-ruang yang berbeza. Masih memerlukan aku melihatnya dengan objektif. Baiklah. Berikan aku magis wayangnya.

Mungkin, dengan memilih istilah "magis" ialah masalahnya. Mungkin kerana, adakah ini filem sulung Zulkarnain, jadi susah hendak mencapai apa yang sudah dilakukan oleh filem pertama Ghaz Abu Bakar?

Selalunya, mulut dan pena aku sedikit lembut pada pembikin muda yang menghasilkan karya sulungnya, memberinya sedikit harapan. Namun, entah mengapa, aku perlu berkeras akan karya sulung Zulkarnain ini.

Awal-awal lagi, gerak kamera (dengan mengejutkan, sentuhan Harris Hue!), syot, suara dan suara latar ala V.O sangat bercelaru. Ada satu syot gaya POV yang kita sedar, menjadi unsur tambahan untuk permainan video yang dipromosikan oleh produser. Kita nampak semacam ada dua tiga manusia dalam gelap yang kita sedar lepas itu sebagai "polis elit" Unit Tindak Khas sedang cuba mengepung sebuah bekas kapal korek bijih. Ada beberapa suara, sebagai eksposisi "cerita ini tentang apa" yang tak habis-habis menyatakan dengan simplistik, betapa bijak dan pandainya Dian (Nur Fazura), kakak Jay, yang sedang berada di dalam kapal korek itu, menjadi agen polis. Pendedahan ini menggelikan aku. Kemudian, tanpa ada apa-apa perasaan saspens dan uja, dan entah apa yang berlaku pun dengan gaya shaky camera, mereka pun masuk (sudah tentu). Babak ini diselang-selikan dengan babak Dian, yang entah bagaimana, melakukan kesilapan tindakan. Semuanya kerana satu senjata biologi, virus VX apa entah.

Lakon layar Alfie Palermo yang mencuba (dan dialog-dialognya terasa seperti cuplikan dialog Inggeris filem Hollywood yang diterjemah terus) dengan memberikan sedikit latar dan percubaan memahami motivasi beberapa pemain dalam filem. Yang bagusnya tentang Alfie, dan mungkin, dengan perbincangan bersama produser dan Zulkarnain, kita merasakan kepayahan dan tercengkamnya Zul Ariffin, dengan beberapa herotan plot yang menarik dilakukan terhadap wataknya, menguji stamina dan usahanya. Hal ini mula dirasai sewaktu Jay mula disabitkan kesalahan dan sedang dibawa ke balai. Namun, gerak, aksi, suntingan dan bunyi filem ini tidak memberikan cengkaman yang sepatutnya. Segala-galanya macam tidak diikat dengan kukuh. Hal ini menyedihkan, kerana filem ini dibarisi oleh pakar tekniknya dan hasilnya boleh menjadi sebuah filem aksi yang boleh dibanggakan. Adakah, hal ini berlaku kerana penyunting syot dan suara tidak cukup syot dan bahan yang kuat untuk diikatkan menjadi babak-babak yang baik?



Malah, ada satu babak imbas kembali yang bagi aku telah merosakkan keseluruhan bentuk dan nafas filem aksi ini. Babak itu mengingatkan aku dengan sebuah filem Hollywood yang menunjukkan seorang ayah melatih dua anaknya menjadi askar-pembunuh di Jawa. Kita terasakan, filem ini ingin mengambil semangat itu (melatih anak menjadi askar paling tangkas), dengan dinamis adik-beradik yang inginkan kasih seorang ayah (tapi dipaksakan menjadi askar). Entah mengapa, babak ini TIDAK MENJADI dan semacam suatu luahan muntah yang tidak kena dengan keseluruhan filem ini. Kita melihat dan merasai situasi-situasi yang terlalu janggal, semuanya berlaku di Zoo Negara (penanda ini jadi tidak menjadi walaupun difahami maksudnya). Adakah hal ini berlaku kerana produsernya naik kecut dengan LPF yang bodoh untuk menonjolkan bagaimana seorang ayah mengerah dua anaknya menjadi askar dengan latihan yang keras (kita hanya dapat tahu hal ini melalui V.O Zul dan Fazura)? Inilah kesalahannya yang sebenar, kerana sinema bergerak dengan imej, bukan suara. Walaupun eksposisi ini diberikan, kita menonton imej yang berlainan. Di sini, kita melihat si ayah dengan sikap lembut baik bawak dua anaknya memusing-musing Zoo Negara, dengan kelihatan si anak perempuan ada masalah kompleks oedipus yang jelas terhadap ayah dan adik lelakinya. Ada semacam cenderamata harimau yang saling bertukar tangan dengan pelik dan pedofilia sekali. Hal ini tidak menjadi motivasi yang kuat untuk dijadikan sebab musabab yang akan berlaku pada babak zaman sekarang filem ini. Ia hanya buruk dan terasa janggal. 

Hal ini menyedihkan kerana lakonan aksi dan pembinaan watak Zul Ariffin dalam filem sulungnya ini boleh dipuji. Zul Ariffin, melangkaui beberapa pemain aksi yang kita ada, malah, berani aku katakan, dialah bintang aksi kita yang pertama (dan boleh dibanggakan) yang ditunggu-tunggu. Gerakannya lincah, pukulannya terasa. Lakonannya sederhana tetapi cukup jujur dan cukup menyampaikan ekspresi tepat pada wataknya. Badan sasanya terbina untuk tangkas dan ligat aksi yang diperlukan, dan hal ini jelas tampak dalam babak di Berjaya Time Square dan lebuh raya.

Malah, magis filem ini (akhirnya, nasib baik ada) tersimpan elok dalam satu babak. Ini berkenaan Izara Aishah (satu lakonan yang baik daripadanya) dan Zul bergomol di sebuah rumah. Di sini, kita dapat melihat setiap kepakaran teknik, suara, kamera, cahaya, suntingan, kareografi, dan lakonan kedua-dua pelakonnya berjaya diikat dengan padu dan lancar, dari awal hingga akhir babak, menampilkan pukulan, hentaman, peluh dan liuk fizikal antara anggota badan Zul dengan Izara melakukan satu tarian, yang juga berjaya mengeluarkan hawa-hawa seks yang menarik. Ya, ia bukan lagi suatu perlawanan, tetapi suatu tarian yang panas dan dinamis. Jika kalian mahu menonton filem ini, inilah "tarikan utama" untuk filem ini. 

Nasib baik juga, kita dihidangkan dengan beberapa pelakon sokongan yang baik, dalam Hans Isacc, Farid Kamil, Fatimah Abu Bakar dan Omar Abdullah. Hanya nasib tidak menyebelahi Nur Fazura yang kelihatan amat-amat canggung dalam filem ini. Azad Jazmin pula dijadikan watak pelawak yang kadangkala terlalu melalut, namun terdapat beberapa hentakannya yang menjadi. Iedil Putra pula amat sangat miscast.

Filem ini masih belum dapat menandingi Polis Evo yang dengan menariknya, sebuah filem yang cukup rempahnya sebagai filem aksi Malaya. Namun begitu, filem ini boleh ditonton untuk melihat berapa banyak kereta polis dan askar digunakan, aksi ngeri yang menggunakan tema "cliffhanger", dan kelahiran seorang bintang aksi yang tulen yang kita tunggu-tunggu, Zul Ariffin.