30 January 2018

Melihat 10 Filem Terbaik Malaysia Sepanjang Zaman



Pusat Kajian dan Apresiasi Filem (PKAF) atau Wayang Budiman (dieja Wayang@Budiman) di bawah bimbingan Dr. Norman Yusoff telah melaksanakan Temasya Wayang Budiman di Alam Budiman, Pucak Perdana, Shah Alam, baru-baru ini. Terdapat beberapa sesi (aku masuk dalam sesi  pagi, perkongsian kertas kerja tentang filem-filem klasik dengan melihat homaj P. Ramlee dalam Pendekar Bujang Lapok terhadap filem sulung Akira Kurosawa, Sanshiro Sugata) yang diadakan suntuk pagi hingga malam pada 27 Januari 2018 itu, tetapi sesi meja bulat perbincangan 10 Filem Terbaik Malaysia Sepanjang Zaman atau judul panjangnya, "Tak Lapuk Dek Zaman: Menjejaki Karya Kanon Sinema Malaysia" jauh lebih menarik, penting dan bersejarah.

Dalam sesi itu, telah dimohon sekumpulan pengkritik, pengkaji, akademik, pemerhati, pembikin dan peminat filem tempatan untuk memilih 10 filem terbaik dalam pandangan mereka. Setelah itu, senarai itu dibahaskan pada hari itu oleh sekumpulan perwakilan yang termasuk Hassan Muthalib, para animasi, sejarawan dan pengkritik filem, Zakaria Ariffin, dramatis dan pensyarah, A. Wahid Nasir dan Luqman al-Jefry, penulis skrip dan segolongan anak muda pembikin dan pengkritik filem yang berwibawa. 

Inilah, julung-julung kalinya buat Malaysia, seperti yang pernah dibuat oleh British Film Institute (BFI), yang pernah dibuat oleh American Film Institute (AFI), yang pernah dibuat oleh Golden Horse (100 terbaik ini ialah senarai paling definitif untuk filem berbahasa Cina buat aku) dan yang pernah dibuat oleh Pinoy Rebyu (100 filem terbaik Filipina yang diundi oleh sekumpulan pengkritik, para arkib, pembikin dan ahli akademik). Senarai filem ini juga termasuk filem-filem sebelum merdeka, filem yang dikenalkan oleh pakar filem, Allahyarham Hamzah Hussein sewaktu pembikinan filem kita bermula sebelum Perang Dunia Kedua, dan selepas itu, zaman studio Jalan Ampas (baik Malay Film Prodcutions oleh keluarga Shaw, kemudian Cathay Keris dan beberapa studio bebas yang lain di Singapura; yang kini amat diangkat dan dirujuk di Singapura sebagai filem nasional mereka), dan selepas tahun 1957, kemudian zaman Studio Merdeka dan zaman Keluarga Si Comat (1975) hadir di pawagam Malaysia, sehingga sekarang.

Ini merupakan "fasa pertama" daripada perbincangan tersebut, namun senarai ini sudah cukup untuk menampilkan, sudah ada 10 filem terbaik yang harus ditonton oleh rakyat Malaysia untuk menusuk ke dalam mimpi dan pengalaman wayangnya yang panjang berliku dan penuh berperisa:

Senarai 10 Filem Terbaik Malaysia Sepanjang Zaman bermula daripada tangga kesepuluh, yang kemudian berarah ke tangga tempat pertama:

10 Perempuan, Isteri & ... (1993, arahan U-Wei Haji Saari) Panas, sekali gus membara. Tidak pernah dalam sinema Malaysia, layar wayang terbakar dengan keberanian dan pancuran tabu. Khusus kepanasan ini menjadi terpancar dengan daring dan kelantangan lakonan Sofia Jane sebagai Zaleha, wanita yang cuba menurut isi hatinya tapi dipermainkan dan dizalimi lelaki dan adat mereka. Apa yang boleh wanita yang dibisukan buat, selain membalas dendam? Zaleha seperti seorang femme fatale dalam sebuah neraka lelaki (satira pada dunia Melayu?) bermain dengan teliti, lelaki-lelaki yang mengelilinginya. Filem yang hebat ini pernah cuba diikuti oleh beberapa pengarah seterusnya, tetapi masih sampai sekarang, tidak setahap, sekompleks dan sepanas yang dibuat oleh U-Wei. Filem seks yang turut menyelirat polemik tradisi dan kedaifan lelaki dalam menghadapi perubahan.

Babak Ikonik: Zaleha mengipas sambil mencangkung kainnya dan menghisap rokok, sambil ada mata-mata di balik pintu melihatnya.

9 Jagat (2015, arahan Shanjey Kumar Perumal) Satu-satunya filem bukan berbahasa Melayu yang masuk dalam senarai, Jagat sememangnya layak kerana memberi harapan kepada sinema Malaysia dalam penjalinan watak perwatakan dan naratif paling baik pernah dibuat dalam sejarah Malaysia. Filem ini terikat pada persoalan harapan-impian dan bagaimana semuanya hancur dan meluluh ke arah suatu kitaran ganas yang abadi. Ketiga-tiga (atau empat) watak lelakinya cukup mewajarkan persoalan ini, dalam latar anak India warisan estet yang dipaksa keluar bekerja dan melata ke kawasan lain untuk survival ekonomi. Filem tertumpu pada Apoy lakonan tangkas Harvind Raj yang mencari-cari makna hidup dan suri teladan buat membimbing prasedarnya untuk suatu kebaikan hidup, daripada ayahnya, kedua-dua pak ciknya, yang walaupun penuh asam garam dan ketawa, dia hanya menemui keganasan dan kemarahan. Ini ialah jawapan terbaik kita terhadap Les Quatre Cents Coups (1959), malah sangat menangkap panik dan keterpaksaan untuk mendewasa dengan jujur dan penuh realistik sekali.

Babak Ikonik: Apoy membuat telefon palsu di talian kecemasan menggunakan telefon awam berganggang merah, lalu menangis semahu-mahunya.

8 Abang (1981, Rahim Razali) Filem legenda ini mungkin kelihatan sudah sedikit lapuk, tetapi momen filem ini masuk ke pawagam, pada awal era kebangkitan semula filem Melayu, Rahim Razali menunjukkan jalan sofistikasi dan kedalaman babak, dalam dialog panjang "teaterikal" dan syot panjang watak-wataknya, yang semuanya kaget, resah, rindu dan marah akan kehadiran seorang abang (Rahim Razali) yang sudah lama hilang. Tangkapan masyarakat Melayu era Dasar Ekonomi Barunya turut menarik, dengan keadaan masyarakat kosmopolitannya di bandar, terasing daripada damai dan sunyi tetapi mesra masyarakat kampungnya. Filem ini juga satu filem perjalanan penebusan dosa (redemption) yang menggigit, yang sekali gus sedang memohon taubat pada sinema Melayu waktu itu yang sedang lusuh dan mati, langsung menemui suatu kelahiran semula.

Babak Ikonik: Wajah sayu dan kerut seisi keluarga waktu "Abang" tiba buat pertama kali.

7 Mukhsin (2006, Yasmin Ahmad) Filem ini semacam trilogi Orked yang dihasilkan oleh Yasmin Ahmad, antara pengarah wanita terbaik yang pernah lahir di Malaysia. Malah, ini semacam prekuel terhadap Sepet dan kemudian Gubra, dengan tatapan nostalgia dan kisah cinta pandangan pertama yang sangat benar-benar remaja. Yasmin yang menangkap baik perasaan menemui cinta kali pertama (dibarisi oleh lakonan fenomena Mohd Shafie Naswip sebagai Mukhsin dengan gandingan Syarifah Aryana sebagai Orked) berlatarkan kampung Melayu dengan bendang hijau, telah melonjak kisah romantik ini dengan persoalan takdir dan kerohanian, sekali gus menyatakan persoalan qada qadar Tuhan dalam perjalanan pengalaman hidup dan pilihan manusia. Tidak pernah filem Malaysia seidyllic ini.

Babak Ikonik: Orked kecil dan Mukhsin menemui Orked dan Jason di tengah suatu bendang, di suatu tengah hari.

6 Layar Lara (1998, Suhaimi Baba) Sememangnya, konsep filem dalam filem karya pengarah wanita ini amat kehadapan dan berani untuk dibikin pada era masyarakatnya masih terikat (dan masih lagi terikat?) dengan persembahan konvensional. Tetapi filem ini juga tentang sinema, tentang niat pembikinan filem, sakit dan seronoknya, impian dan kegagalannya. Ia adalah realisasi nadi sinema Malaysia, khususnya tangkapan era 1950-an serta kontemporari 1990-an. Syot berkuasa boleh dilihat pada bahagian watak Ena Manjalara, pelalon berbakat tetapi diva lakonan berkesan Ida Nerina menuruti sang seniwati legenda, Azena Irdawaty yang sudah meringkuk pada alam nyanyuk, merealisasikan "sinema" kembali pada latar rumah yang usang dan tua. Hal ini dijukstaposisikan pula pada watak Ena yang ingin bertaubat menghadapi Sidi Oraza pada ruang bilik syarikat filem yang kosong. Babak itu "menjadi" babak lakonan paling menonjol, dinamis dan berkesan "di luar penggambaran" filem dalam filem ini: menjawab persoalan mengapa anak wayang, para artis, diva popular atau tak berdisiplin, masih terus-menerus berjuang, memain wayang, bikin filem, walaupun dewan panggungnya kosong dan sambutannya hambar dan usang. Walaupun optimis ini kelihatan tergugat pada sambutan filem ini keluar pada tahun itu, ia tetap menjadi surat cinta peribadi bagi kebanyakan orang filem Malaysia melihat pada diri mereka sendiri dan impian yang hendak mereka capai.

Babak Ikonik: Satu syot panjang Ida menemui pengarahnya Sidi, untuk memujuk mengambilnya kembali kerja, dengan hanya berlatarkan kerusi di tengah-tengah bilik.

5 Chuchu Datok Merah (1963, M. Amin) Antara filem klasik terbaik zaman itu, M. Amin berjaya membina sebuah dunia Melayu lama yang begitu dekat pada sensual Melayunya, dalam kefahaman Melayu dengan darjat, emosi, keduniaan dan hal-hal ketahyulan. Filem ini juga berkenaan kejatuhan rangka feudalisme pada era semangat dunia yang mula merubah dan berlandaskan materialisme. Menariknya, bahasa filem dan kekuatan M. Amin pada tangkapan babak dan simbolisme amat mengalir dan jernih, menjadikan filem ini satu-satunya filem yang boleh diinterpretasi dalam palbagai sudut dan pendekatan, malah keluar daripada kerangka "bangsawan" yang biasa terbentuk dalam filem-filem klasik Melayu era itu. Suatu mutiara yang seharusnya digilap untuk dipandang lebih lama.

Babak Ikonik: Roseyatimah memerhati dirinya di cermin, dengan rasa gundah, tetapi kemudian tersenyum puas.

4 Semerah Padi (1951, P. Ramlee) Filem kedua P. Ramlee ini sangat ambitious, dan sememangnya berbaloi kerana berjaya menangkap sebuah dunia Melayu Islam pra zaman kolonial yang begitu terikat dengan sistem perundangan syariah, namun ini juga merupakan kritikan halus P. Ramlee terhadap kerangka itu, bahawa manusianya jauh lebih kompleks untuk dikotak-kotakkan dalam suatu kerangka. Namun P. Ramlee tetap berjaya merealisasikan suatu kehidupan masyarakat Melayu yang sedaya upaya menurut hukum, dan hidup dan mati untuk hukum. Filem ini juga menampilkan daya usaha P. Ramlee menggunakan rujukan teknik dan garapan filem-filem luar negara, Barat dan Timur, khususnya Rashomon, untuk merealisasikan dunianya. Layarnya mempesona, menangkap dan tidak mahu kita melupainya setelah ia kembali menjadi bebola bumi kecil yang berputar-putar, meneruskan hidup isi dunianya.

Babak Ikonik: P. Ramlee menghulur parangnya dan memohon hukumannya, dipandang oleh semua orang yang terjalin pada tindakannya.

3 Hang Jebat (1961, Hussain Haniff) Filem ini biasanya menjadi juara dan selalu diusulkan sebagai "filem Melayu terbaik", yang juga dibicarakan oleh kalangan cerdik pandai (pada era 1950-an, filem Hang Tuah dikecam kerana sifat menurut feudal yang terlalu keras, lalu berkemungkinan filem Hussain ini menjawab persoalan itu), malah selalu diangkat oleh pengkritik dan sasterawan zamannya dan zaman-zaman mendatang. Mungkin bentuk pentas pada latar balairung istana dan latar rumah Hang Jebat mendaifkan mutunya, tetapi naratif, kekuasaan lakonan dan dialog-dialog kuat begitu mencengkam, menghidupkan suatu tragedi Melayu berdasarkan dua adikarya klasik Melayu, Sulalatus Salatin dan Hikayat Hang Tuah. Selain sikap pemberontakan kepada kekuasaan (yang zalim), filem ini juga membuka banyak wacana moden dan psikologi antara pertarungan-persahabatan klimaks Hang Tuah dan Hang Jebat, dua buah tokoh yang bertelingkah atas susun atur politik kuasa yang membendung mereka. Suatu filem besar yang sememangnya masih dipesonakan akan ruang falsafah dan tujuan-pilihannya.

Babak Ikonik: Pertelingkahan terakhir Jebat dengan Tuah, sambil berbalas suara, berbalas tikaman, yang mencampuri unsur ganas dengan hiba dalam suatu adegan.

2 Bunohan (2011, Dain Said) Sebuah filem klasik moden, satu-satunya pada alaf 21. Bunohan memecah pelbagai ruang dan masih memecahkan beberapa ruang pengalaman sinema, baik yang tradisi mahupun kontemporari. Secara mudah, filem ini bercerita tentang pergolakan tanah dan kemahuan berbeza tiga anak seorang pemain wayang kulit yang sudah berusia. Dilatarkan seperti suatu tragedi Shakespeare, tiga anak ini mencari ruang dan pilihan sama ada hendak melakukan, atau tidak, tindakan yang mereka hendak lakukan, menjadikan isi tangga rumah warisan si ayah (lakonan memberangsangkan Wan Hanafi Su, yang kemudian mengangkat kembali namanya ke persada filem era 2010-an)  retak menunggu belah. Terdapat pula projektori spiritual yang melatari dunia si ayah dan anak-anak, yang juga akan terkesan dengan perubahan yang akan dijalankan oleh satu daripada anaknya. Politik dan drama tidak pernah setegang ini dalam filem Malaysia.

Babak Ikonik: Faizal Hussein berjalan di kawasan kubur yang kelam di tepi pantai, rumah yang terbakar.

1 Kaki Bakar (1995, U-Wei Haji Saari) Walaupun filem minimalis yang lebih dikenali sebagai filem pertama Malaysia yang menjejak ke Cannes ini merupakan adaptasi daripada cerpen "Barn Burning" Faulkner, ruang, dunia dan perwatakannya sangat Melayu-Malaysia, dengan membina persoalan keterasingan dan latar sejarah dan kemodenan yang menolak orang-orang terpencil. Filem ini masih dijaguhkan sebagai antara yang terbaik yang pernah dihasilkan di Malaysia selepas era studio Jalan Ampas. Kuasa cerita dan garapan, dengan kekuatan lakonan Khalid Salleh dan Ngasrizal Ngasri, tetap masih mencengkam prasedar dan sedar peminat yang mengikutinya akan psikologi gelodak dan perih ambivalen dan terasing mereka, seakan-akan suatu kemas kini daripada persoalan maruah Chuchu Datok Merah. Syot panjang dengan api membakar sahaja sudah membuka pelbagai persoalan sinema, yang kemudian menampilkan bagaimana alam, dalam tangan manusia Melayu, menjadi alat kehidupan dan pembawa tragedi.

Babak Ikonik: Syot akhir Ngasrizal yang duduk memeluk lutut di bawah pokok yang besar pada waktu malam, seorang diri.


2 comments:

Anonymous said...

Raval : nom d'un quartier du centre de Barcelone.

Aizat Shukor said...

Filem senarai atas memang berkualiti dan berseni.. Tetapi filem p. Ramlee seperti ibu mertuaku, bujang lapok. Filem adik manja patut ada kerana bukan sahaja berkualiti tetapi ditonton ramai sehingga kini.