05 January 2018

The Cangeling (1980) dan Rahsia (1987): Suatu Adaptasi dalam Adaptasi

Menulis rentetan sederhana ini merupakan suatu daripada impian aku sejak dahulu lagi, setelah jatuh cinta dengan filem Rahsia (1987) sewaktu filem itu mula-mula diputar di pawagam semasa aku budak lagi, dan menjadi renggang dengannya apabila mendapati filem itu "menyalin" sebuah filem Kanada, The Changeling (1980) ketika membelek Rating the Movies nukilan pengkritik Leonard Maltin.

Setelah aku menemui The Changeling ketika menontonnya beberapa tahun lepas dan membaca maklumat tentang filem tersebut dalam Wikipedia, sikap dingin aku terhadap filem Hafsham itu mula reda dan penghormatan, malah sanjungan diberikan kembali terhadapnya, walaupun mungkin dalam waktu sekarang, kedua-dua filem tersebut nampak sedikit lapuk dalam kelolaan tema, serta teknik dan tatakhas yang sedikit ketinggalan zaman.

Aku memang menyanjung Rahsia (1987), filem arahan Hafsham dengan skrip nukilan Masnah Rais itu dan benar-benar menyokongnya sewaktu filem itu memenangi filem terbaik pada malam anugerah Festival Filem Malaysia dengan lapan anugerah. Menarik lagi, The Cangeling (yang tidak berapa diminati oleh pengkritik Amerika) turut diangkat sebagai filem terbaik dalam majlis anugerah filem kebangsaan Kanada, Genie Award dengan berjaya merangkul (turut) lapan anugerah. Filem itu kelihatan seperti suatu gerakan industri filem Kanada untuk "menjual" kreativiti kesenian Kanada dalam bentuk filem kepada dunia, dengan penggunaan Inggeris (bahasa rasmi Kanada ialah Perancis walaupun kebanyakan rakyatnya bercakap dalam Inggeris sebagai bahasa kedua) dan menggunakan kepakaran luar negara (tiga pelakon utamanya, George C. Scott, Mevlyn Douglas dan Trish Van Devere ialah pelakon Amerika; pengarahnya, Peter Medak berbangsa Hungary; penulis skrip asalnya, Russell Hunter dari Amerika). Jelas, gerakan ini berlaku setelah Hollywood menemui filem blokbuster dalam sentuhan "komersial", yakni cerita mudah dan berkesan dengan teknik dan produksi tinggi dan teliti, yang diperkenalkan oleh Steven Spielberg dengan Jaws (1975) dan kemudian George Lucas dengan Star Wars (1977). Menariknya, filem yang diproduksikan oleh pembikin filem Kanada ini (yang diingatkan akan mencapai kecemerlangan kutipan) ialah genre seram, dengan beberapa faktor mungkin; melihat pada genre seram boleh dihasilkan dalam masa yang lebih pendek, dengan kos yang lebih rendah dan boleh dibikin oleh penerbitan yang lebih kecil atau bebas (independent). Hal ini jelas apabila melihat pada garisan sejarah filem seram yang rata-ratanya memang kosnya jauh lebih murah dan banyak dihasilkan oleh syarikat-syarikat bebas. Ini ditambah lagi dengan ledakan filem The Exorcist (1973) waktu itu (walaupun sebuah filem studio, filem ini agak murah dengan perbelanjaan dalam 12 juta dolar tetapi mencapai kutipan 441.3 juta dolar), yang juga diikuti oleh beberapa filem terbitan bebas tetapi turut meletup di pawagam; Night of the Living Dead (1968), Dawn of Dead (1978), Texas Chainsaw Massacre (1974) dan Halloween (1978). Tampaknya, The Changeling seakan-akan jawapan Kanada terhadap The Exorcist, ton filemnya serius, bergerak seperti sebuah filem drama dan wataknya bercakap dalam bahasa basah-basi harian orang Amerika.

Tempo The Changeling amat diam dan perlahan. Medak banyak menggunakan gaya syot menyorot kanan ke kiri atau kiri ke kanan, baik latar luar, dengan pemandangan luas dataran penuh salji Kanada (adakah Kubrick mengguna pakai teknik ini untuk The Shinning?) atau latar dalam, babak di dalam rumah agam yang diduduki George C. Scott sewaktu kematian isteri dan anaknya dalam satu kemalangan di tepi jalan.

Plot The Changeling dan Rahsia seakan-akan serupa tetapi menggunakan penanda dan pelaksanaan sinema yang berbeza. Dalam The Changeling, hanya George yang tinggal seorang setelah kematian isteri dan anaknya (yang dilihatnya sendiri di tepi jalan sewaktu musim salji). George seorang komposer muzik yang juga boleh mensyarah muzik, lalu George yang tidak tahan akan rumah keluarganya yang penuh memori isteri dan anaknya, telah mengambil keputusan untuk berpindah (jauh) ke sebuah pekan lain dan mengajar di sana (lalu masuk ke rumah berhantu tersebut yang dibelinya melalui ejen hartanah). Dalam Rahsia, Shukery Hashim dan Noorkumalasari dengan sepasang anak lelaki-perempuan berpindah ke suatu pekan di tepi pantai yang terletaknya sebuah rumah agam lama yang murah (ya, kedua-dua filem menyatakan tentang harga rumah yang murah). Shukery Hashim ialah seorang "profesor" yakni ahli akademik sebuah universiti, walaupun kita tidak diberikan apa-apa makluman tentangnya (dengan Shukery menghisap paip sudah cukup menampilkan dia intelektual?). Tiada apa-apa yang terjadi sehingga anak perempuan pasangan itu mati lemas sewaktu mereka berkelah. Ya, tragedi (mati) menggerakkan plot cerita, mungkin dalam The Changeling lebih jelas liuknya daripada Rahsia. Namun kedua-duanya turut menggunakan struktur cerita "politik" atau kisah seorang kaya yang mahukan "rahsia" di rumah miliknya disenyapkan. 

Dalam The Changeling, hal ini dilakukan dengan gaya minimalis, senyap, dengan banyak penggunaan syot ruang latar mengambil mood, lalu seram ini kemudian, dibina dan dibina, sedikit demi sedikit. Medak menggunakan objek bola untuk ini, yang masuk dalam ruang bingkai filem, mengejutkan penonton, secara diam dan juga hentakan. Kemudian, objek ini berubah apabila George menemui "bilik rahsia" (bilik yang menyimpan si budak tempang) yang terdapatnya kerusi roda untuk kanak-kanak. Kerusi roda inilah yang kemudiannya "menghantui" ruang rumah agam George dengan beberapa konsep yang menyerupai syot POV Evil Dead. Menariknya, terdapat juga penggunaan objek bola dalam Rahsia, sebagai ikatan pada filem asalnya mungkin. Tetapi, siapa yang dapat melupai set-peice anak patung yang dibeli oleh Shukery Hashim (filem ini jauh mendahului Annabelle) yang kemudian menitiskan air mata di atas kekunci piano (satu lagi objek yang merujuk filem asal), menaikkan remang tengkok Shukery dan isterinya.

Syot-syot POV ini juga menjadi "kaca mata" atau ikatan "empati" secara mistik antara George dengan hantu di dalam rumah agam, meminta George merasa "apa yang dirasa" oleh budak itu: hantu dan Geoge menjadi satu melalui perspektif imejan. Ini sebenarnya tujuan sinema Medak, yakni membina "komunikasi", antara alam ghaib/hantu dengan alam nyata manusia. Tujuan bentuk filem ini banyak membina hal ini (dengan persoalan, bagaimana hantu berkomunikasi dengan orang hidup?) Selain mimpi, perspektif POV, asalnya, filem ini dengan subtle sekali menampilkan bagaimana hantu itu berkomunikasi dengan George melalui suara (dalam hal ini, muzik). Yakni, George yang tidak dapat menyiapkan lagu yang sedang diciptanya tiba-tiba dapat menulis lagu tersebut di piano. Filem ini membayangkan bahasa lagu tersebut kononnya sudah ada pada era budak hantu tersebut. Hal ini ditambah lagi dengan suara "white noise" yang ditangkap oleh pita rakaman George, suatu teknik yang berkali-kali diguna pakai dalam filem seram, khususnya The Conjuring (aku mengagak, James Wan banyak mengguna pakai elemen daripada filem ini untuk filem-filem seramnya). Apabila suatu pertalian sudah terjalin (di sini, suara dan visual), George yang sudah "empati" pada tahap hantu tersebut (lalu berusaha melakukan quest membongkar rahsia hantu tersebut), mengeratkan lagi tujuan komunikasi ini pada bentuk yang lebih menggerunkan dan ganas.

Sesuai dengan sikap Barat, George yang seorang, secara individualis, menjalankan usaha menyelongkar rahsia tersebut. Tetapi detik ini terlalu diam dan keterasing, banyak berlakunya hal-hal yang terlalu absurd (kelemahan jelas filem ini) dan tiba-tiba. Ini yang dibaiki oleh Rahsia apabila Shukery dalam proses menyelongkar rahsia tersebut berlaku beberapa persoalan dan dilema dinamisme antara dia dengan isteri dan anak lelakinya (dengan meletakkan keluarga sebagai satu kumpulan, menampakkan budaya Asia yang cenderung kekeluargaan dalam sama-sama menyelesaikan atau menghadapi masalah). Kisah hantu tersebut dibuka sedikit demi sedikit dengan eksposisi yang berlainan antara Shukery, Noorkumalasari dan anaknya. Malah, sungguh menarik apabila tahap pembukaan "komunikasi" ini berbeza antara orang dewasa dan anak (anak dianggap tidak berdosa maka boleh melihat lebih jelas alam lain), menampilkan persoalan innocence dan rasional dewasa. Malah, dalam Rahsia, bukan orang dewasa yang mimpi (seperti George), tetapi si anak lelaki, menguatkan kaitan innocence dan alam ghaib.

Dalam hal inilah, setelah menonton kedua-duanya, aku menolak pandangan awal aku bahawa Rahsia "menciplak" The Changeling. Rahsia sebenarnya mengadaptasi The Changeling, yakni menyusun suaikan bentuk dan penceritaan yang terbaik dalam ruang lingkup dan pandangan Malaysia (dalam hal ini, Melayu-Islam). Isu ini mungkin sedikit kontroversi kerana dua hal; (1) pembikin Rahsia tidak mengkreditkan langsung bahawa filem ini mengadaptasi atau terinspirasi daripada The Changeling (2) dalam kredit awal filem, tertera kredit nama "cerita asal" filem ini (aku lupa namanya, lebih susah lagi kerana kita tidak ada dokumentasi lengkap filem-filem kita sebagai rujukan), memaklumkan bahawa filem ini datang daripada penulis tersebut, bukan daripada filem lain. Mungkin lagi, industri perfileman kita waktu itu (dan harapnya tidak lagi sekarang) memang cukup licik benar dalam kerja ini, seperti mana filem sulung Adik Manja Hafsham yang dikatakan menyerupai sebuah filem Hong Kong.

Kebijaksanaan dalam Rahsia tetap ada. Lebih-lebih lagi dalam keadaan mengadaptasi atau interteks yang dilakukan terhadap teks asal. Dalam The Changeling, George menyetujui suatu acara "menurun" yang dipanggil "seance" dilakukan di dalam rumahnya. Ini meningkatkan lagi frekuensi "roh" untuk berkomunikasi dengan Geroge, menambahkan lagi keadaan menakutkan terhadap rumah agam itu. Hal ini tidak berlaku dalam Rahsia kerana keadaan khurafatnya. Shukery dan keluarganya hanya diganggu dan diganggu berkali-kali, sehingga Shukery terpaksa mencari dan membongkar misteri penghantuan rumahnya. Ini kelihatan seperti gaya tipikal filem rumah hantu, tetapi mempunyai kejustifikasian yang menarik. Pada satu bahagian, Shukery bertanya terus pada seorang ustaz/ahli agama untuk mendapat rektifikasi akan "dunia roh" dan "gangguan", menapakkan keberadaan alam ghaib dalam dunia nyata dan dalam keadaan rumahnya yang diganggu. Setelah itu, Sukery diyakini. Anak lelaki Shukery kemudian bermimpi seorang budak dibunuh dan kemudian dikurung di dalam bilik rahsia (dalam The Changeling, budak itu dilemaskan dalam sebuah tab mandi). Oleh sebab "komunikasi" sudah terjalan, Shukery dan Noorkumalasri mempercayai anaknya. Untuk The Changeling, babak ini terlalu tiba-tiba untuk kita mengangkap kepercayaan Geroge. George hanya, tiba-tiba terasa mahu mencari dan membongkar rahsia kematian di rumah agam itu kerana keterikatan kematian anaknya yang kononnya "turut" tinggal di rumah itu. Dalam Rahsia, hal ini menjadi kuat lagi kerana Hafsham mengaitkannya dengan keimanan yang ada dalam Islam, yakni pada fokus perkembangan kepercayaan kepada ghaib dalam watak Shukery (untuk mempercayai kejadian di dalam rumah dan kata-kata anaknya). The Changeling agak kabur dalam hal ini, walaupun kita mengambil sikap anggapan bahawa setiap orang Barat yang liberal kadang-kala mahu berfikir tentang apa-apa prosedur yang dapat membantu, melanggar pilih apa-apa jenis ritual agama, janji ia menghasilkan keputusan, seperti mana yang dipaparkan dalam The Exorcist atau yang terkini dengan Ghost House (2017).

Memang ada babak-babak menarik dalam The Changeling, yang mengambil gaya slow horror untuk membina mood seramnya. Terdapat babak seram sangat efektif yang dibuat tanpa banyak efek. Hanya syot, suntingan dan suara yang terjalin baik. Ini berlaku pada satu babak apabila si kaya meminta orang suruhannya pergi melanggar lari George (ingat, babak ini juga ada dalam Rahsia). Apa yang berlaku ialah susunan syot yang sangat mengganggu. Si kaya yang ternganga, kemudian tanpa isyarat, kita dipaparkan dengan wajah orang suruhan itu, dengan mulut yang ternganga, kemudian kamera berpusing, dan fokus wajah orang itu dipaparkan dengan lebih jelas, rupa-rupanya telah mati di dalam keretanya, secara mengejut, dengan kereta yang terbalik!


Walaupun pengakhiran The Changeling sangat grand, dengan hantu di rumah agam seperti mengamuk, dengan tangga terbakar dan kereta roda mengejar orang (dalam Rahsia, kereta mainan mengejar Noorkumalasari! Namun babak ini mengingatkan kita dengan Close Encounters of the Third Kind), ia tidak mempunyai motif selain hanya ingin mengakhirkan filem tersebut dengan kemusnahan ala besar ala filem bencana Hollywood. Ini sedikit tidak masuk akal. Banyak persoalan yang sengaja tidak dirungkaikan, sekurang-kurangnya dalam kefahaman logos bahasa filem, seperti watak yang dapat masuk-keluar ruang (si kaya akhirnya muncul di rumah agam yang terbakar, menemui si hantu), dengan menganggap dunia nyata dan alam ghaib yang kelam dan menjerit itu sentiasa mencari jalan untuk diikat dengan suatu talian. Rahsia lebih bijak dengan menyusun set-piecesnya dengan teliti, sehingga klimaks, merungkaikan persoalan dan gerak cerita satu per satu. Jika The Changeling banyak menggunakan ruang kosong di dalam rumah sebagai ruang menyampaikan cerita kepada penonton, Rahsia menggunakan elemen air.

Rahsia bermula dengan tragedi melalui air: laut. Air ini kemudian melecak di dalam rumah agam Shukery. Air sekali lagi berperanan apabila Shukery mencampak anak patung ke anak sungai. Pada awal filem, kita melihat syot luas dari atas kereta Proton Shukery dengan jalan dan pokok kiri dan kanan. Ini memberi petanda darat (dunia) dan keamanan. Konflik (seram) berlaku dengan air, yang juga seakan menyimbolkan "alam ghaib" atau hentakan hantu ke alam nyata. Ini juga memaparkan rahsianya masih tertutup. Pada satu syot, kita dipaparkan rumah si kaya (lakonan S. Roomai Noor) dengan kolam renang. Syot ini dilakukan berkali-kali, dan akhirnya diadakan dengan jelas pada babak klimaks di tepi kolam, si kaya meneropong bintang. Di sini, bukan sahaja babak ini meningkatkan persoalan "hantu" pada ruang itu (maknanya, si kaya yang kelihatan gembira dan aman tetap dihantui dosa yang dilakukannya, sila teliti betul-betul dialog keterangan apabila isterinya menyatakan kepada watak Yusof Haslam, si kaya akhir-akhir ini suka berehat di tepi kolam) tetapi memaparkan rahsia itu sudah "tersampai" dari alam sana, sudah selesai dikomunikasikan. Menarik lagi, setelah rahsia ini dibongkarkan oleh Shukery kepada si kaya (babak ini babak paling dramatik dalam filem ini), si kaya menerima strok, lalu terjerumus masuk ke dalam kolam renang! Tanda jelas si kaya mati lemas (mengikat mati lemas anak Shukery pada awal filem) sebagai kesesuaian aksi tetapi juga sebagai peranan maksud metafora: si kaya sudah masuk ke alam lain untuk menemui dosa yang dirahsiakannya! 

Hal ini tidak terhenti di situ. Yusof Haslam, setelah mengetahui rahsia si kaya itu ayah kandungnya, telah berkejar ke rumah agam Shukery, membawa pistol. Waktu itu hujan lebat, bukan sahaja petanda biasa filem seram gothik, tetapi menimbulkan maksud hantu/gahib dan alam nyata itu sudah begitu berbolak-balik, berkomunikasi. Dan air hujan inilah, yang juga mengakhirkan riwayat berdosa si kaya itu apabila menggelincirkan kaki Yusof lalu membunuhnya dengan tercucuk jeriji tajam pagar. Lantas, wajah dan badan Yusof terus dibasahi air hujan. Tragedi menjadi hukuman yang sudah terlangsai.


Memang, secara teknik, Hafsham menggunakan gaya konservatif terhadap eranya waktu itu (terdapat satu babak selingan video muzik runut "Conga" Gloria Estafan yang jengkel), dengan penggunaan skor muzik Adnan Abu Hassan yang mempunyai tempat dan momen yang berkesan (walaupun aku tidak berapa menggemari runut gaya organ filem Melayu, ini dikecualikan). Banyak syot gelap dan malam dengan rendisi cahaya biru dan hujan digunakan, yang kadangkala menyebabkan filem ini agak susah untuk ditonton dalam versi televisyen/digital (sinematografi Zainal Othman merangkul anugerah FFM). Namun dengan kekuatan cerita yang dibuka dengan baik, dan ditutup dengan baik, melakukan saringan yang baik daripada kandungan asalnya, dengan lakonan para pelakonnya yang cukup mantap (Fazirddeen Fadzil, pelakon kanak-kanak yang berlakon sebagai anak lelaki Shukery memenangi anugerah pelakon kanak-kanak terbaik), menjadikan Rahsia mampu dipandang sebagai sebuah filem adaptasi seram yang memuaskan daripada Malaysia. Dalam hal ini juga, The Changeling, walaupun mungkin kelihatan ketinggalan zaman, merupakan antara filem yang masih ada momen seramnya, yang kemudian tema, objek dan metod seramnya dijadikan rujukan malah pinjaman oleh filem-filem seram sekarang.

1 comment:

Anonymous said...

Come├žaremos pelo ponto que vai direcionar a pesquisa.