15 May 2018

Membaca Lestari Penaung Seni dalam Ibu Mertua-ku (1962)

Sudah tentu sudah banyak yang sudah disuguhkan terhadap melodrama klasik arahan dan karya P. Ramlee ini. Aku menilik sudah tentu Daniyal Kadir mempunyai kupasan sosial dan kelas yang jauh lebih menarik, dan sudah tentu, beberapa pengkritik yang ampuh, seperti Hassan Muthalib, A. Wahab Hamzah dan Anuar Nor Arai sudah meletakkan tanda arasnya terhadap filem berusia lebih 50 tahun ini.

Aku menontonnya semalam di TV2. Walaupun ya, ini bukanlah filem P. Ramlee kegemaranku, dan dahulu sewaktu kecil filem inilah yang membuat aku merasai siksa batin dek tamparan klimaks sebuah filem sedu-sedan yang noir, aku mendapati ada benda-benda yang menarik yang ingin disampaikan oleh P. Ramlee dalam filem ini, walaupun terdapat beberapa hal yang aku tidak pasti sedar janggalnya.

Sebagai sebuah filem melodrama yang menyuntik pengisian komedi pada awal filemnya (ini merupakan suatu red herring yang jelas), aku menganggap bentuknya janggal sebagai suatu pemersatu bentuk yang utuh (kita tidak temui babak komedi lagi, apatah lagi kesinambungan babak-watak Husin-Salbiah), walaupun kedudukan ini diletakakn dengan sedar dan sengaja di awal filem. Kita bolehlah menganggap ini pengaruh filem Hindustan dan Tamil era itu yang cukup sedar juga mencampur-campurkan genre. Kita juga boleh menganggap terdapat pengaruh bangsawan di sini, yang juga, mengguna pakai bentuk selitan komedi dalam sebuah drama serius. Apa-apa pun, dalam pandangan pascamoden, mungkin hal ini membawa makna yang berbeza, mengikut pada pengupas dan penganutnya.

Namun terdapat bijaknya. Mark Twain pernah berbidalan, "humour is tragedy plus time". Ingat kata Aristotle, komedi menganggap bahawa manusia "worse than they are" yang mana manusia yang lawak tidak semestinya jahat, mereka hanya bebal dan mudah diperlekeh. Tragedi pula mewakili manusia yang "better than they are". Memanglah P. Ramlee tidaklah terjumpa kenyataan Aristotle ini, tetapi bentuk janggal ini, menariknya menyumbangkan suatu bentuk melodrama Melayu yang jarang-jarang sekali dapat dibuat "menjadi" oleh pengarah Melayu selepas P. Ramlee, baik A. R. Badul (Keluarga 99, Oh Fatimah), Razak Mohaideen (Hingga Hujung Nyawa) mahupun Yusof Haslam (Gerak Khas). 

Menarik jika dilihat dalam gerakan cerita yang sungguh cepat secepat pusingan kereta api mainan di atas bulatan relnya, terdapat dua ruang yang jelas diselami oleh watak P. Ramlee yang ikonik itu, Kassim Selamat, ruang komedi (Husin, Sabariah, Salbiah) dengan ruang drama-tragedi (Nyonya Mansor, Sabariah, Dr. Ismadi, Mami, Combi, Mamak Mahyudin). Memang kalau diperkira, Kassim Selamat tidak berdiri seorang, kerana pasangannya, Sabariah, turut bermain dengan kedua-dua ruang itu. Namun, pemecahan menurut Sabariah lebih jelas dalam perubahan plot, yakni dari komedi kepada drama, lebih-lebih lagi dengan keadaan Nyonya Mansor memasuki bingkai "komedi" kemudian "romantik" Kassim-Sabariah. Selepas detik komedi, keadaan Sabariah terus dilanda drama, kemudian menurut tangga capaian tragedi pada puncak cerita. 

Gerak alur cerita Kassim berbeza di sini, walaupun kita boleh merujuk runut bunyi filem yang mendayu dan bolero sebagai merentas alam penuh tangis dan tragedi (runut bunyi romantis dalam babak-babak ini merupakan antara skor muzik terbaik yang telah dihasilkan oleh P. Ramlee). Aku bercakap di sini, kerana walau dalam tangis, terdapat henjatan sinis dan apa yang aku panggil "mengejek". Ajami sendiri berkata bahawa watak Nyonya Mansor tidak jahat, dan kedudukan dan pilihannya berjustifikasi. Kerja separuh lagi filem adalah untuk mengejek komplot-rancangan Nyonya Mansor terhadap Kassim. Ini ditambah dengan dialog mahal Kassim pada babak perkuburan: "Mengapa kau diciptakan Allah menjadi manusia? 'Kan lebih baik kau menjadi haiwan?" Kita tidak boleh lari daripada tidak menyedari bahawa kenyataan Kassim ini sah-sah, me"ridiculed" Nyonya Mansor dan seangkatannya, ala Melayu. Bolehkah kita katakan juga, watak Nyonya Mansor itu, walaupun dicerap daripada realiti, turut dipersembahkan secara camp? Malah, kelampauan gaya, cara kata dan liuk gerak tubuhnya terus dibuat-buat dan diikuti sehingga era Mak Cun sekarang. Hal ini menarik lagi, pada babak akhir filem, Nyonya Mansor pabila melihat buta dan gore Kassim Selamat keluar dari bilik tidurnya, Nyonya Mandor ternganga, jelepuk, dan mati (well, macam strok) di atas riba menantu baharunya. Kita tidak boleh lepas daripada menyedari, semua ini merupakan suatu "komedi" yang menyambung komedi awal filem ini, lebih-lebih lagi dalam kenyataan klise antara dua darjat ini bertemu. Jika Pedro Almodovar menonton ini, tentu beliau begitu teruja dan meloncat ketawa. John Waters tentu menepuk sokong, dan Douglas Sirk serta Robert Aldrich terpelecot dari bangkunya.

Bercakap tentang Aldrich, menariknya, filem Whatever Happened to Baby Jane? juga lahir pada tahun 1962, diletakkan sebagai sebuah filem genre seram, dengan hentakan melodrama (dan komedi) yang padu. Adakah ini memaparkan P. Ramlee jauh melintasi eranya pada tahun beliau menghasilkan filem ini? Aku berani menyatakan hal ini, kerana, walaupun kita terganggu dengan plot tukaran Dr. Ismadi yang sanggup mencelikkan mata Kassim dengan menonjolkan pula Sabariah dan anak kandung Kassim kepada Kassim yang celik (babak ini sah-sah macam sebuah filem Almodovar!), malah dengan berkali-kali menyatakan Kassim perlu "rawatan" di rumah Dr. Ismadi sendiri sambil Sabariah menghidang air (talk about deep irony!) walaupun Kassim sudah mengetahui kebenarannya, ini semacam menampilkan kesadisan Dr. Ismadi! Hal seram ini menarik lagi apabila pada tahun 1960, terdapat filem Perancis, Les Yeux sans Visage, yang memaparkan babak pembedahan wajah yang amat menakutkan. Babak pembedahan mata Kassim dalam Ibu Mertua-ku sangat-sangat menakutkan. Dan lebih gerun lagi, atas keadilan puitis (talk about poets and their justice!), Kassim membutakan kembali mata anugerah suami baharu Sabariah itu, just to point out a statement.

Jadi: melodrama-komedi-seram-tragedi, apalagi yang kau mahu!



Namun begitu, lebih menarik lagi ialah keadaan susuk Kassim Selamat yang kelihatan benar seperti legenda yang dipuja-puja, kedua-duanya oleh Sabariah (bolehkah kita katakan Sabariah mewakili golongan Melayu atasan ruang urban, walaupun "peranakan"?) dan kemudian oleh Combi (bolehkah kita katakan Combi mewakili golongan Melayu atasan di luar ruang urban?). Apa yang membuat aku tertarik ialah susuk Kassim Selamat ini, seorang penyair romantis, ya, seniman, yang duduk berpegang pada prinsip dan budinya (lihat, kefahaman budi yang sangat kuat dalam diri Kassim, mungkin melampaui fizikal lemahnya, membuatnya menangis jadi buta, dan kemudian memulangkan mata celik itu kepada Dr. Ismadi kerana tidak mahu berhutang budi). Walaupun masa Kassim hendak dihalau dari bawah kolong rumah sewanya, lihat betapa lembut sopan santunnya (sopan santun yang terjelma dalam filem ini sudah tiada dalam diri budi orang Melayu sekarang, lihat Twitter saja dah cukup) menyampaikan maksud dan meninggalkan "nyawa"nya sebagai galang ganti hutang budinya terhadap Abang Ali, tuan rumahnya. Budi dan santun ini juga yang ditemui oleh Mami dan Combi, membuat mereka terpesona, apatah lagi kata-kata lembut dan penuh ajaran (hal ini jadi lebih menarik dengan apa yang Kassim lakukan selepas itu) Kassim Selamat.  

Bagi aku, keadaan cerita, plot dan tindakan Kassim Selamat ini ada agendanya oleh P. Ramlee. Kassim Selamat ialah susuk dan bentuk seni, seni yang dipegang oleh seniman yang sejati. Kita boleh kata ini seni ala P. Ramlee, Melayu sentrik, romantisme melampau, idealis, terikat prinsip/adat (Kassim tidak akan ke kelab malam selagi isterinya tidak membenarkan), tapi seni ini begitu benar dan indah pada jati dirinya, walaupun terlalu sensitif dan sampai melanggar fitrah dan tauhidnya. Susuk seni ini pula ditonjolkan, dinaungi dalam dua bentuk, satu, dalam bentuk kapitalis ala menyampaikan kepakaran/bakat seni pada ruang (dewan pertunjukan, studio, corong radio, filem), yang hidup mekar, jelas, dalam ruang bandar. Kedua, seni ini dinaungi secara tradisi oleh seorang penaung (Mamak Mahyudin lakonan Ahmad Nisfu) yang membawa Kassim Selamat berjejak ke seluruh Tanah Melayu, seperti bentuk kumpulan bangsawan yang dinaung seorang kaya untuk menjelajah membuat pertunjukan serata Tanah Melayu. Kassim dalam Arab bermaksud "yang membahagi" atau "yang memberi". Selamat ialah "aman" dan "sejahtera", juga asosiasi pada "Islam". Lantas, "yang memberi sejahtera" ialah sosok seni kepada orang awam untuk orang awam menjadi "tenang" dan senang dengan pemberian karya seninya. Inilah yang dibuat oleh Kassim terhadap Sabariah dan Combi. Saksofon ini terpilih, unik, kerana menjadi alat muzik ("nyawa" kata Kassim Selamat) moden/Barat yang menampilkan kemodenan zaman dan bagaimana ia berjaya diasimilasi dalam adat budaya Melayu. Hal ini kerana tiupan penuh emosi Kassim boleh sahaja jaz, boleh sahaja blues, sebenar-benarnya menampilkan liuk irama getar dan meruntum yang sangat Melayu (ia seperti orang mengaji atau berzanji, kita sedar atau tidak?).

Dengan tebaran ini, P. Ramlee seakan-akan hendak menyatakan bagaimana kelestarian seni Melayu ini, sebenarnya, asli dan sejatinya, harus kembali pada naungan orang-orang yang mengenalinya (dalam filem ini, orang kaya di desa). Yang, secara tradisinya bermula daripada golongan cerdik pandai dahulu, orang-orang kaya yang dari asalnya datang daripada golongan istana dan raja-raja, yang telah menurunkan titah perintah, menyalin manuskrip, mengarang hikayat, membina tari inang, mengukir pintu masjid. Ia tidak mampu dipegang oleh massa kapitalis urban yang modenis kebaratan, yang mungkin akan memegang, tapi hanya akan memegangnya untuk bentuk fizikalnya (sepertimana Sabariah yang terpesona dengan bakat dan susuk Kassim), bukan jiwa dan rohnya.

Mungkin pandangan ini tampak prejudis dan serong. Namun ada makna yang mendalam. Seni: muzik, filem, sastera - seharusnya dinaungi oleh orang yang memahami asal dan jiwanya (mengambil kata-kata Seniman Negara Syed Ahamd Jamal, "rupa dan jiwa"). Seni, jika dibiar terlambak pada pasaran, pada ruang kapitalis seorang Sabariah beribu Nyonya Mansor, ia akan hilang, lenyap, dilupai. Sepertinya bentuk kapitalisme yang merayakan "apa yang hot waktu sekarang", ia hanya menurut trend semasa dan akan hilang tiba masanya. Seni Melayu, hendak melestarinya, kerana, seperti ditunjukkan dalam diri Kassim Selamat, amat rapuh jiwanya namun benar pada duduk letak dan simpuhnya, perlu dituntun oleh orang yang budiman dan berbudaya. Ia mungkin akan dilupai dan dibuang oleh massa yang sentiasa relatif cita rasa, tetapi tentu akan dijaga dan dipupuk baik oleh penaung yang mengenal hati nurani dan masa depannya. Lantas, seni tidak hanya bersandar pada pasaran bebas yang menghargainya untuk sementara waktu; seni perlukan penaung berbudaya yang dapat menjaganya sampai bila-bila.

Mengambil semangat Combi di akhir filem: "Abang Kassim datang kepada Combi buta, dan Combi bahagia. Abang Kassim datang kembali kepada Combi dengan buta, dan Combi tetap bahagia." Kerana Combi telah menemui hal yang jauh bernilai daripada permukaan fizikal dan pertunjukan bakat Kassim: rupa dan jiwanya. 

ps: Antara kesemua seniwati era Jalam Ampas, aku amat menggemari Sarimah dan Zaiton. Syukur, kedua-duanya berganding dalam filem ini. Namun lebih menariknya, bagi aku, dalam lunak bentuk suara (walaupun telo utara anak tanjungnya tidak menjadi) Zaiton menampilkan, beliau seorang pelakon yang jelas mempunyai kelas gaya yang tersendiri, dan cukup menampilkan emosi dan impresi yang lunak dan cemerlang, sebaik bintang-bintang Hollywood gitu!

Dengar,
Oh, jeritan batinku!
Memekik-mekik
Memanggil-manggil
Namamu selalu
Sehari kurasa sebulan
Hatiku tiada tertahan
Kupandang kiri
Kupandang kanan
Dikau tiada ...

Risau,
Batinku menangis risau
Makin kau jauh
Makin hatiku bertambah kacau
Mengapa kita berpisah
Tak sanggup menahan asmara
Oh, dengarlah!
Jeritan batinku.

.

1 comment:

Anonymous said...

Peghhhh fadz, peghhhhhhhhhhhh! SEMBAH!