13 July 2018

Warkah Cinta Terakhir Pedro Almodóvar Buat Ibunya

Susuk figura ibu kandungnya sendiri ialah resepi rahsia dan inspirasi mendasar dalam filem-filem Pedro Almodóvar, khsusnya filem dedikasinya terhadap ibunya (dan semua ibu di luar sana), Francesca Caballero, All About My Mother (1999). Roh ibunya mengawalnya lagi untuk filem Volver/Kembali (2006), antara filem adikarya Almodóvar pada era beliau menghasilkan filem-filem matangnya (era ketiga).

Dedikasi terjemahan Melayu ini pula buat Pedro Almodóvar, antara pembikin kegemaran peribadi, dan auteur, yang masih hidup dan melawat sinema-sinema semalam dalam liukan layarnya.



Mimpi Terakhir Ibuku
oleh Pedro Almodóvar Caballero

Sabtu lepas, sewaktu aku keluar dari rumah, aku menyedari bahawa hari itu merupakan sebuah hari cerah yang indah. Hari itu merupakan hari cerah pertama aku tanpa ibuku. Air mataku berderai di balik cermin mata hitamku, dan aku memang banyak menangis hari itu. Aku belum dapat tidur pada malam sebelumnya, dan aku hanya mampu berkeliaran seperti seorang yatim piatu, mencari-cari sebuah teksi yang dapat membawaku ke Funérarium del Sud.

Aku bukanlah alim sangat dalam hal menziarah perkuburan dan ritual-ritual agama lainnya, tetapi ibuku merupakan figura paling penting dalan hidupku. Walhal dalam penggunaan nama am aku di ruang awam, aku tidak pernah menggunakan nama keluarganya selepas nama keluarga ayahku, sepertimana yang sudah menjadi lumrahnya di Sepanyol, dan sepertimana yang ibuku selalu harapkan. "Nama kamu Pedro Almodóvar Caballero. Siapa pula mamat Pedro Almodóvar ni?" dia pernah bertanya padaku suatu hari, malah sememangnya dia begitu berang denganku.

Orang selalu ingat bahawa seseorang anak hanya tergolong sebagai seorang anak pada suatu garis masa tertentu. Namun tempohnya lebih lama dari itu sebenarnya. Jauh lebih lama. Itulah yang Lorca* selalu perkatakan. Malah, ibu juga tidak tergolong pada satu garis masa tertentu juga. Dan mereka tidak perlu pada apa-apa keistimewaan untuk kekal penting, menjadi sumber utama, tidak dapat dilupakan, dan guru asas setiap anak yang belajar merangkak. Sang ibu dapat bertahan dengan apa-apa perkara pun jua. Aku banyak belajar daripada ibuku, walau tanpa disedari oleh kami sendiri. Daripadanya, aku telah mempelajari sesuatu yang menjadi asas utama dalam karya-karyaku, kearifan untuk memahami perbezaan antara realiti dengan fiksyen, dan bagaimana realiti perlu dilengkapi dengan fiksyen untuk membuatkan hidup ini lebih mudah untuk dihadapi.

Aku mempunyai pelbagai memori tentang ibuku untuk setiap garis masa hidupnya. Pengalaman yang paling epik, mungkinlah, sewaktu dia bermastautin di sebuah kampung berdekatan Badajoz, Orellana la Vieja, jambatan di antara dua alam besar hidupku sebelum aku ditelan oleh kota Madrid: La Mancha dan Extremadura. Walaupun kakak-kakakku tidak suka aku bercerita akan hal ini, memang sewaktu kami mula-mula tinggal di sana, hidup kami amat melarat. Tetapi ibuku sememangnya sentiasa kreatif, malah tidak pernah aku kenal seorang yang berdaya cipta sepertinya. Bagi orang di La Mancha, ibuku ini semacam "orang yang mampu mengeluarkan susu daripada tin minyak". Di kawasan kami tinggal waktu itu belum ada elektrik, jalannya tanah, selalu sahaja kotor dan cepat bertukar lumpur setiap kali hujan. Jalan tunggal itu terletak di hujung kampungku, yang terbina daripada serpihan-serpihan batu loh. Aku tidak tahu bagaimanakah anak-anak dara di situ dapat berjalan di atas batu-batu tajam itu dengan kasut tumit tinggi. Bagiku, ia bukanlah sebuah tempat tinggal tetapi perca sebuah kampung daripada sebuah filem koboi. Hidup di situ susah tetapi murah, dan jiran tetangga kami sangat baik dan peramah. Dan, mereka juga buta huruf.

Untuk menampung gaji ayahku, ibuku membuat duit dengan membaca dan mengarang surat-surat orang kampung, sepertimana yang berlaku dalam Central do Brasil**. Umurku lapan waktu itu; lalu selalunya, akulah yang diminta oleh ibuku menjadi penulis surat sedang ibuku akan membaca surat-surat yang diterima oleh orang kampung. Sering kali, semasa aku ralit mendengar bacaan surat oleh ibu, aku mendapati dengan hairan bagaimana apa yang dibacanya itu bertentangan dengan apa yang tertulis dalam surat itu: ibu telah menukar isinya mengikut sukanya. Para jiran tidak tahu, kerana apa yang diciptanya itu selalunya benda-benda yang menghiburkan jiwa lantas membuatkan para jiran ibu pulang dengan senyuman. Setelah menjadi saksi hakiki akan perbuatan ibuku yang tidak pernah setia dengan teks asal surat, suatu hari setelah pulang ke rumah, aku mencebiknya. Aku kata, "Mengapa mak pergi baca yang dia selalu teringat-ingatkan neneknya dan dia selalu terasa nostalgik semasa neneknya memotong rambutnya sewaktu kecil di tangga depan pintu rumahnya, di hadapan sebuah besen air? Surat tu langsung tak cerita pun tentang neneknya." Lalu ibuku menjawab, "Tapi kamu nampak tak betapa gembiranya dia?"

Ibuku betul. Ibuku telah mengisi polos-polos kosong dalam surat-surat itu, dia menyampaikan benda-benda yang mahu didengar oleh jirannya, yang mungkin si penulis surat itu telah lupa untuk masukkan tetapi tentu puas hati jika benda-benda itu juga disertakan. Improvisasi ini telah menjadi suatu pelajaran besar buatku. Ia membentuk persoalan perhubungan antara fiksyen dengan realiti, yang mana realiti memerlukan fiksyen untuk terbentuk sempurna, menjadi lebih menyenangkan, lebih tahan lama ...

Walaupun aku penat setelah selesai jerayawara mempromosi filemku (All About My Mother waktu itu sudah mula ditayangkan di seluruh dunia dan sememangnya ia suatu kebetulan apabila aku mendedikasikan filem itu kepadanya, sebagai seorang ibu dan seorang seniwati; yang sebetulnya aku teragak-agak melakukannya kerana tidak pasti jika dia menyukai filem-filemku), dan nasib baik aku bersama-samanya di Madrid. Keempat-empat kami adik beradik ada bersamanya ketika itu. Dua jam sebelum "detik genting"nya, aku dan Agustin datang melawatnya pada sesi lawatan setengah jam yang diizinkan di unit rawatan rapi, sementara dua kakakku menunggu giliran di luar.

Ibuku sedang tidur waktu itu. Kami membangunkannya. Mimpinya tentu begitu menyenangkan dan  mengasyikkan yang ia seperti belum mahu lagi meninggalkannya, walau dia masih berbual dengan kami berdua dengan begitu jelas sekali. Dia bertanya kami berdua jika ada ribut petir di luar waktu itu, dan kami balas tidak. Kami tanya bagaimana keadaannya dan ibu menjawab dia baik-baik sahaja. Ibu bertanya akan anak-anak Agustin yang baru kembali daripada cuti. Agustin memberitahu dia akan bersama dengan anak-anaknya hujung minggu itu dan akan dapat makan bersama. Ibuku tanya jika adikku sudah membeli barang makanan untuk anaknya dan dia jawab sudah. Aku memberitahunya bahawa aku perlu ke Itali untuk mempromosi filemku, tapi aku sanggup tunggu di Madrid jika dia mahu aku tunggu. Dia meminta aku pergi sahaja dan buatlah sesuka hatiku. Perkara yang ibu khuatirkan tentang kepergianku adalah jika anak-anak Agustin akan ikut serta denganku. Dia bertanya, "Budak-budak tu, siapa yang nak jaga mereka nanti?" Agustin menyampuk, dia tak ikut aku kali ini dan akan tinggal. Ibuku lalu sangat senang hati dengan jawapan anak bongsunya itu.

Seorang jururawat masuk dan memaklumkan masa kami sudah tamat, lalu memberitahu ibuku mereka akan membawa masuk hidangan makanannya. Ibuku menjawab, "Makanan itu tidak akan membuatkan saya jadi berat pun." Aku mendapati kenyataan ibuku itu sedikit manis dan pelik. Tiga jam selepas itu, dia meninggal dunia. Atas semua perkara yang diutarakannya pada pertemuan terakhir itu, soalannya tentang ribut petir itulah yang masih tersemat pada jiwaku. Jumaat hari itu merupakan sebuah Jumaat yang cerah, malah sinaran siangnya menusuk masuk melalui jendela hospital. Ribut petir apakah yang ibuku fikirkan dalam mimpi terakhirnya itu?

Petikan ini dikutip daripada sebuah artikel yang tersiar dalam El Pais, 14 September 1999, yang disertakan dalam buku Masters of Cinema: Pedro Almodóvar oleh Thomas Sotinel (2007:74), suatu siri buku Cahiers du Cinema. 

* Federico García Lorca, penyair dan dramatis Sepanyol (1898-1936). 
** Filem Brazil Central Station (1998) arahan Walter Salles yang dicalonkan dalam filem terbaik asing di Anugerah Academy ke-71. Filem ini menerima Golden Bear (filem terbaik) dan Silver Bear (pengarah terbaik) untuk Festival Filem Antarabangsa Berlin ke-48.

1 comment:

Anonymous said...

wonderful points altogether, you simply won a emblem new reader.
What would you recommend about your put up that you made some days in the
past? Any certain?