14 September 2018

Crossroads: One Two Jaga (2018)



"Anjing boleh bau ketakutan kau." - Adi

Sejak dua tahun ini, ada dua buah filem getir yang meraikan semangat tangkapan neo-realisme yang penting dalam sinema Malaysia, Shuttle Life dan One Two Jaga. Daripada kedua-dua itu, One Two Jaga yang diarahkan oleh Namron (dengan tulisan lakon layar oleh Ayam Fared, Pitt Hanif, Namron, Amri Rohayat dan Muhammad Syafiq) menjadi pendahulu sejarah sebagai sebuah wayang yang sangat berani dalam membicarakan hal-hal yang tidak mungkin ditayang sewaktu Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri ke-4.

Keberanian ini "sedikit" memakan diri apabila kita, penonton Malaysia, terpaksa menerima potongan, kadbod di skrin (seorang watak budak merokok disamar-samarkan) dan dialog disalut bunyi "Beep", menjadikan filem berdurasi 80 minit ini kelihatan begitu singkat, laju dan berkeadaan tiba-tiba. Apa-apa sahaja yang dapat diselamatkan daripada lawatan lima-enam kali penerbitnya ke markas polisi memaparkan - walau mungkin sebuah simfoni yang kurang beberapa kepingan not muziknya - sebuah lagu canggung yang tetap bersuara dan mengalun keras nada-nada marah. 

Malah, dalam keadaan kekurangan dan cabaran inilah lagi, filem ini harus dipuji kerana tanpa gentar menyelongkar dengan teratur dan yakin sekali akan dua kaca mata pemerhati/pelaku realiti yang dibicarakan dalam filem ini: dari sudut kalangan pendatang asing (sah atau tanpa izin, diwakili kuat oleh Ario Bayu dan Asmara Abigail sebagai adik-beradik dari Pulau Jawa. Lantas kali ini, kita menemui wajah manusia dalam kalangan imigran yang kita lihat melilau di Kota Raya dan Chow Kit) dan dari sudut kaca mata polis (Zahiril Adzim sebagai Hussein, Rosdeen Suboh sebagai Hassan). Cerita seakan-akan berlaku sehari dua. Singkat. Tapi penuh dengan peristwa-peristiwa manusia. Yang paling jelas, setiap gerakan cerita terasa kedesakannya: setiap watak seakan-akan terasa terdesak, didesak, dengan peluh asyik membasah kulit (seakan-akan mereka terperangkap di dalam stor yang tertutup). Semua orang dikerah oleh suatu desakan, baik materi mahupun tugas. Ini sebuah imej neraka desakan hidup.

Setiap watak, baik polis, majikan si imigran mahupun imigran-imigran itu sendiri, mempunyai latar dan motivasi desakannya yang tersendiri, menggerakkan cerita, sedikit demi sedikit, mendekati sosok masing-masing untuk suatu pertembungan di sebuah persimpangan. Apa yang Namron dan kumpulan penulisnya hendak katakan ialah, ya, desakan dan pertembungan ini tetap reaktif setiap hari seperti biasa, malah punca sebabnya terus-terusan berlaku. Walaupun terdapat undang-undang dan penguatkuasa yang jujur, punca sebabnya akan terus berlaku. Hal ini lantas mencapai suatu ironi yang menyakitkan, bahawa kita semua tidak dapat keluar bersengkol dengan salah lakunya walaupun betapa tidak bersalahnya kita.



Noe-realisme Namron dibantu dengan sudut kamera Helmi Yusof yang tertumpu di tanah dan jalan, mementingkan tangkapan peluh, tiupan rokok, mata kecamuk dan kesan pukul watak-wataknya. Imej suasana tidak pernah terasa cerah (ton warna mula jelas selesa sewaktu babak-babak di balai polis) atau ceria, malah warna apinya merah jingga seakan-akan lampu isyarat merah yang menyala. Tangkapan-tangkapan ini berjaya menyesakkan keadaan mise-en-scene, dengan ruang-ruang kecil dan sesak. Pada satu babak, kita lihat Ario Bayu berjalan di selangan kota dalam kalangan imigran pendatang dan watan tempatan dengan ruang yang begitu sesak lalu memerangkapnya. Imej ini sesesak Asmara di dalam bilik hotel bajet, juga dua pekerja seorang Dato' di belakang but kereta polis. Keadaan tertekan itu turut disampaikan dengan lakon layar yang cukup kental (namun sari kata Inggerisnya terlalu skema dan baik, menghilangkan nuansa kolokial kotanya) dan ketat oleh kumpulan penulisnya. Seperti filem Crash (2004), filem berbentuk ensembel ini berisiko kerana tentu satu dua watak atau cerita akan terlihat lemah atau polosnya berbanding cerita watak yang ditumpukan sebagai tulang belakang cerita. Apatah lagi setiap wataknya berkait-kait antara satu sama lain dalam satu sesawang yang tersimpul mati. Boleh dikatakan, walaupun terdapat satu dua watak yang kita tidak kenal latarnya, landskap besarnya sudah terjaga untuk kita mempercayai pertembungan katarsis yang digerakkan pada klimaks cerita. Ini ditambah pula dengan dialog kolikual yang selamba dan terisi, melantunkan kiasan-kiasan yang hidup tentang "rezeki", "kuasa", "duit kopi" dan "mangsa yang tertindas", melangkau cara membaca kritikan sosial filem ini ke beberapa lapisan seperti kritikan politik dan falsafah kuasa negara.

Dialog-dialog hidup ini juga telah dihidupkan oleh sekumpulan pelakon yang sangat berwibawa. Terutamanya Rosdeen Suboh yang amat mengejutkan aku. Rosdeen seperti "tidak berlakon", dia memang bernafas dan berjalan sebagai seorang polis yang menjalankan rutin hidupnya yang terdesak dan dapat ditemui dalam dunia sebenar. Dengan sengaja, dia dipadukan dengan Zahiril Adzim yang muda, idealis dan ekspresif (dalam filem ini, dia berperanan sebagai Jebat alaf baharu). Kemudian, kita perhatikan Ario Bayu, melakonkan watak seorang pendatang Indonesia yang begitu fenomenal. Kita dapat mengikut alunan naratif dan emosi Ario secara menaik sehingga puncaknya kerana kekuatan dan ketegasan Ario menjaga angin, emosi dan laku dramatiknya. Suatu kelas lakonan manusiawi yang tersendiri. Amerul Affendi juga memancar sebagai "Yoda" bagi pekerja-pekerja asing ayahnya (Azman Hassan yang juga cemerlang) di bengkel kontraktor. Dia juga idealis dan ekspresif, lawanan terhadap cerminan watak polis Zahiril, yang mana kedua-duanya mempunyai motif dan agenda dalam hidup (lantas kita tidak mudah menghukum). Asmara, Chew Kin Wah, Along, Vanida, dan Timothy Castillo, semuanya menyampaikan drama kemanusiaan yang cemerlang.

Aku tidak berapa senang dengan runut bunyi filem ini, terlalu progresif bereksperimen dan kadangkala melantun runcing. Namun, runut suara filem ini cukup berfungsi dalam kesederhanaan neo-realismenya. Suntingan Razaisyam juga membantu mengikat dan meletakkan ruang tempatnya agar kita dapat mengikuti emosi dan cerita filem ini dengan lancar. Namun terdapat beberapa pilihan syot yang kelihatan tergesa-gesa (seperti babak kejar-mengejar, hal ini sedikit disesali kerana babak ini boleh diikat dengan babak kejar-kejar Polis and Theif budak-budak di awal cerita sebagai metafora fizikal ampuh yang menjadi tumpuan pertembungan gerak cerita). Pemilihan latar tempat, busana dan tatariasnya juga cukup merealisasikan suatu drama realiti yang menggetirkan.

Untuk inilah, aku berani katakan, filem ini berjaya memasuki detik yang bersejarah bagi sinema kita. Inilah filemnya. Inilah filem yang akan merobohkan beberapa dinding lama, baik isi mahupun teknik, yang mengongkong apa yang boleh dan tidak boleh dibikin dalam filem kita. Ingatilah filem ini. Ingati nafas dan nadanya. Dan sesalilah diri jika terlepas daripada menonton sebuah sejarah.  

Antara filem terbaik Namron setakat ini; dan antara filem terbaik Malaysia tahun ini.

Klasifikasi: P13, Beberapa babak ganas, lancang dan kata kesat yang sangat tidak sesuai untuk kanak-kanak di bawah umur 18.

DITONTON DI TGV, 1Shamelin.

No comments: